24 Apr 2014

LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN DESA

    Sedasawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan yang kian berkembang pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta orang. Senario ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling banyak menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu, pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing. Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan adat resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memajukan industri ini agar terus berkembang maju?

Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan, keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada pada masa kini, kerajaan boleh membina laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada masyarakat luar. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap lepas tangan dalam usaha untuk memajukan sektor pelancongan desa, maka industri ini akan terus hilang ditelan zaman justeru dapat mengurangkan pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, pelaksanaan kempen merupakan langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.

Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di bawah pimpinan Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen haruslah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu, kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe, bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur? Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang sama. Tegasnya, pihak Kementeriaan Pelancongan perlulah menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara kita terus berkembang maju.

Selain itu, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita. Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak pengurusan inap desa boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai padi, dan pertandingan membuat kraf tangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Tegasnya, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara kita.

Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri. Selain itu, untuk meningkatkan keberkesanan promosi ini lagi, pihak kerajaan juga haruslah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan kehadiran pelancong dalam negara kita ini lagi. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat kawasan desa di negara kita. Lebih-lebih lagi, ekonomi negara Malaysia juga bergantung kepada sektor pelancongan dengan pertambahan pelancong dari luar dan dalam negara dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber ekonomi negara kita lagi.

Minhaj yang lain adalah dengan mengadakan kempen secara giat dan efektif. Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di kawasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah minat pelancong lagi untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kebudayaan dan adat resam sesebuah masyarakat di desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, untuk menarik minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan masyarakat di kawasan desa itu. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Tegasnya, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan kehadiran pelancong di negara ini.

Minhaj seterusnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa haruslah diperkembangkan supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas serta dapat memberi pulangan yang lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan desa di negara kita dapat terus berkembang maju. Tegasnya, untuk memajukan industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat pelancongan desa.


Intihanya, peranan semua pihak sangat signifikan dalam memajukan industrI pelancongan desa di negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Selain sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat memakmurkan Malaysia di mata dunia luar. Senario ini secara tidak langsung dapat menangkis pandangan negatif negara-negara Barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara kita sebagai sebuah negara yang penduduknya tinggal di atas pokok dan bercawat. Industri pelancongan secara tidak langsung dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta. Oleh itu, kita sepatutnya mengusahakan industri pelancongan desa di negara kita dengan sebaik-baiknya.


Sumber:http://anelyza.blogspot.com/2012/09/langkah-langkah-memajukan-industri.html